Jam menunjukkan pukul 10.00 malam. Ketika aku sedang asyik melayan bait-bait lagu pada malam hari, kedengaran telefon bimbitku berbunyi menandakan ada pesanan yang masuk. Tanpa berlengah aku mencapainya bagi melihat siapakah gerangan pengirim mesej. Dengan dahi yang agak berkerut aku melihat skrin itu kerana kehairanan memerhati nombor telefon yang tertera.
Sepertinya aku tidak mengenali nombor itu, lalu kutekan butang ‘open’ untuk melihat isi kandungannya. Apa yang aku ingat hanya tertulis sebaris ayat. “ Hai, boleh berkenalan?”
Aku sebenarnya sudah terlalu kerap menerima mesej sebegitu. Dan kebiasaannya juga aku hanya membiarkan mesej itu tersimpan di inbox tetapi ada waktunya aku bertindak menekan butang ‘delete’.
Walau bagaimanapun, kali ini hatiku tergerak untuk membalas mesej itu. “ Hai, nak berkenalan ke? Boleh...tapi mane dapat nombor saya ? Kenapa nak berkenalan dengan saya? Saya kenal awak ke?” Itulah soalan yang aku kirim kepada pemuda itu.
Baru sahaja aku ingin melangkah keluar dari bilik terdengar lagi deringan mesej masuk. Masih teringat lagi aku tergelak sendirian membaca pesanan yang dikirim. “Hish, banyaknya soalan! Mane satu nak jawab dulu ni? Ok, saya dapat nombor awak daripada kawan saya. Saya nak berkenalan dengan awak sebab saya suka awak dan saya nak kenal dengan lebih rapat lagi. Untuk soalan terakhir tu saya tak pasti, tapi kita pernah jumpa.” Meneliti ayat terakhirnya sekali lagi membuatkan aku kehairanan.
Bila masa pula aku jumpa dia? Di mana agaknya? Siapa dia ni? Itulah persoalan yang bermain di fikiranku . Oleh sebab aku terlalu letih dan mengantuk aku membiarkan sahaja mesej itu tanpa dibalas. Apabila sahaja aku mula melelapkan mata kedengaran telefon bimbitku berbunyi lagi tapi kali ini bukan menandakan pesanan mesej tapi kedengaran lagu ‘ Love Story’ nyayian Taylor Swift yang menandakan ada panggilan masuk. Dengan keadaan diri yang separuh sedar aku menekan butang ‘answer’. Kedengaran suara seorang lelaki di hujung talian. Aku menjawab salamnya dan menanyakan siapa dia dan tujuan menghubungiku.
Dia memperkenalkan diri sebagai Iskandar. “Kenapa tak balas mesej tadi? Tak sudi nak berkenalan ke?” Itulah tujuan dia menghubungiku. Aku hampir terlupa dengan mesej yang dihantar lalu memohon maaf atas apa yang berlaku. Sejak daripada malam itu, aku dan Iskandar seperti kata orang ‘teman tapi mesra’ walaupun hanya dalam talian. Setiap hujung minggu Iskandar akan mengajak aku keluar. Tidak kiralah sama ada sekadar jalan-jalan, shopping, menonton wayang, makan dan macam-macam lagi aktiviti kami.
Tapi, apa yang aku ingat saat pertama kali kami bertemu aku berasa sangat gementar kerana tidak dapat membayangkan rupa dan peribadi dirinya.
Akhirnya saat ditunggu-tunggu telah tiba dan aku tidak menyangka bahawa Iskandar seorang yang kacak dan pandai bergaya. Sangat beruntung aku berkenalan dengannya. Dalam ketampanan Iskandar aku dapat melihat raut wajahnya yang agak pucat. Mungkin hanya sangkaanku, tetapi ternyata benar.
Setelah hampir setengah tahun kami berkenalan akhirnya Iskandar mengatakan hal yang sebenar bahawa dia menghidap luekimia sejak setahun yang lalu dan hanya menunggu masa untuk pergi selama-lamanya. Mendengar ceritanya membuatkan aku sedih dan marah barangkali kerana bagi aku setiap insan yang bergelar lelaki yang mula aku sayangi pasti akan pergi meninggalkan aku. Perkara seperti ini sudah dua kali berlaku pada diriku dan kini akan berulang lagi.
Sebulan kemudian aku mendapat panggilan telefon daripada Mak Cik Nora mengatakan bahawa Iskandar sudah meninggal dunia malam semalam. Aku yang mendengar berita itu seolah-olah merasakan persekitaranku menjadi gelap dan tiada lagi gelak tawa yang akan mewarnai hidupku selepas ini tapi aku reda dengan ketentuanNya kerana semua yang hidup pasti akan kembali kepadaNya.
Sebelum Iskandar pergi, dia menitipkan seutus surat buatku.
“Salam.....terima kasih kerana sudi menerima Iskandar sebagai teman. Terima kasih kerana sudah membuatkan detik-detik akhir kehidupan Is menjadi gembira. Untuk pengetahuan Nur Balqis, sebenarnya sudah lama Is mencintai Qis tetapi mulut ini berat untk mengatakannya kerana takut ikatan persahabatan kita menjadi renggang kerana cinta itu. Maafkan Is kerana terpaksa meninggalkan Qis. Terima kasih atas segalanya.”
Tulus ikhlas daripada: Iskandar
Ketika surat dibaca kedengaran lagu ‘Salam Terakhir’ berkumandang di radio diikuti deraian air mata di pipiku. Kini, walaupun dua tahun telah berlalu, kenangan indah bersama Iskandar masih bermain di mindaku sehinggakan aku tidak dapat menerima kehadiran lelaki lain di sisiku.
Terima kasih, temanku...
Terima kasih, Iskandar...