Assalamualaikum...
Hai, dah lama tak update something. Kali ni aku nak share satu cerpen yang aku buat tapi sebenarnya bukan 100% aku buat. Idea search dekat google lepastu olah cerita then panjangkan cerita, tokoh tambah. So, inilah hasilnya setelah di hantar first draft ke Puan Nisah Harun. Oh, sebenarnya cerpen ni ialah tugasan untuk subjek Puan Nisah, Penulisan Kreatif: Teori & Praktikalnya. Selamat membaca.
*******
Murni
berteleku di tikar sembahyang. Dia mula menadah kedua belah tangan bagaikan
pengemis meminta simpati orang yang lalu lalang. Dia menadah tangan tanda
pengemis yang meminta simpati dari tuannya. Tuan yang empunya diri. Tuan yang
berada di atas. Tuan yang sentiasa menghulur bantuan walau tidak dipinta oleh
hambanya.
Pintanya
dimula dengan basmalah. Baris doanya berbunyi sayu. Sayu memohon simpati.
Memohon berkat dan taubat dari tuannya. Taubat atas khilaf dirinya. Terdengar
sedu sedan dia memanjatkan doa. Bait-bait doa itu diucap satu persatu. Bimbang
pintanya tidak diendah. Bimbang pintanya tidak dikisah.
Namun
di hati kecilnya dia percaya tuannya pasti mendengar apa yang terbuku di hatinya.
Baris doanya sayu. Sayu dalam tegar. Tegar dengan ketentuan yang telah dihampar
untuk dirinya. Pintanya agar taubatnya diterima.
Khilafnya
disesali. Dia menyesal atas kelalaiannya. Menyoal atas kekhilafan dia semalam.
Ya, semalam. Dosa semalam. Benar kata orang. Semalam adalah sejarah untuk hari
ini. Tapi, untuk dia, semalam adalah sejarah hitam.
Ada
juga yang pernah berkata sejarah itu mungkin berulang. Entah. Tapi bagi dia
sejarah hitam semalam itu tidak akan dia benarkan untuk diulang cerita lagi.
Kalau ada piring hitam yang merekod sejarah semalam dia, tidak akan dibenarkan
piring hitam itu diputarkan walaupun untuk tatapan pengajaran kepada umum.
Biarlah sejarah hitam semalam hanya jadi benteng pemisah dalam diri dia. Dia
mahu jauh dari sejarah hitam semalam. Ah, tapi tidak semudah itu.
Yang
hitam jangan disangka kotor, yang putih jangan disangka bersih. Itulah
perbandingan yang boleh dilabel pada diri dia.
Ungkapan
doanya semakin perlahan, semakin tenggelam bak ditelan suaranya sendiri.
Pintanya hanya ingin mendapat pengampunan dari tuannya.
Murni
dan Mamat menuju ke sebuah rumah bidan yang dia kira amat terkenal di ibu kota.
Mana-mana orang yang mempunyai tujuan yang sama pasti tempat itu jadi
sasarannya. Mereka berjumpa dengan seorang kenalan. Biarlah kenalan itu digelar
Melah. Tujuan mereka hanya satu. Melah menjelaskan bahawa proses pengguguran
itu akan membuatkan dia merasa sakit tetapi sakit itu hanyalah seperti seorang
perempuan yang mengalami senggugut apabila tiba masa haidnya. Setelah selesai
proses pengguguran, dia akan mengalami haid yang akan mengeluarkan darah secara
terus-terusan dalam jangka masa dua minggu. Selesai peringkat itu, dia perlu
mengikuti siklus menstruasi yang bakal dilakukan oleh Melah.
Pada
saat itu dia hanya mampu terdiam dan bimbang. Diam tanda keliru. Bimbang atas
apa yang bakal berlaku. Diam dia sambil berfikir adakah benar apa yang bakal
dia lakukan. Mamat sempat mengusulkan yang sebaiknya Murni hanya perlu pergi
berjumpa dengan doktor yang sah, melakukan ujian ultrasound untuk mengenal
pasti usia kandungannya yang sebenar. Namun, saat itu dia lantas dimarahi oleh
Melah dan bertanya sama ada dia ingin menjaga kandungannya atau sebaliknya.
Melah
cuba menerangkan cara-cara bagaimana nanti isi kandungannya itu akan mati dan
cara meminum ubatnya. Keadaan itu sahaja sudah mengundang kerisauan kepada
Murni. Dia sama sekali tidak tahu apa yang bakal terkesan kepadanya nanti.
Entah mana silapnya entah mana fikirnya akhirnya Murni memutuskan untuk
melakukan perkara itu.
Melah menambah, apabila nantinya kejadian
seperti ini akan berulang kedua kalinya, Melah tidak akan mahu menolong lagi. Pendek
kata, kos pembiayaan kesemua proses itu hampir mencecah angka RM3000. Mamat
langsung terus bersetuju dengan kos itu dan menyatakan bahawa keesokan harinya
dia akan melunaskan bayaran tersebut.
Tiba
hari esoknya selepas selesai membuat pembayaran. Murni dan Mamat pulang ke
rumah Mamat yang kebetulan orang tua Mamat tidak pernah mempersoalkan tindakan
dia yang sudah kerap kali datang ke rumahnya malahan adakalanya sehingga Murni
turut bermalam di situ.
Dan
malam itu Murni tekad untuk meminum ubat yang Melah berikan tanpa berfikir
panjang. Ada dua jenis ubat yang dibungkus dalam dua paket yang berbeza. Yang
satunya berbentuk segi enam dan yang satunya berbentuk serbuk (mungkin ianya
ialah campuran ubat-ubatan yang telah dihaluskan).
Lantas
ubat yang berbentuk segi enam itu dimasukkan ke dalam vagina manakala serbuk
yang halus itu dicampurkan dengan air hangat setengah gelas, kemudian diminum
sampai habis. Bersih.
Setengah
jam kemudian dia merasa kedinginan yang luar biasa, tubuhnya seakan menggigil. Badannya
berpeluh. Mamat yang melihat keadaan Murni mulai panik.
Mamat
terus menghubungi Melah. Dari penjelasan Melah, keadaan dia yang menggigil itu
adalah kesan daripada tindak balas ubat itu yang sudah mula menunjukkan kesan
positif.
Dalam
pada Murni menggigil kedinginan yang diikuti rasa sakit sedikit demi sedikit mencengkam
dirinya itu dia mula berfikir tentang apa yang dilakukan ini sudah terlalu
jauh. Jauh dari akal fikiran warasnya sendiri.
Pada
malam hari dia dapat tidur dengan nyenyak sampai akhirnya sekitar dua pagi
perut Murni seakan memulas-mulas.
Jam
dinding telah menunjukkan tujuh pagi. Murni terbangun apabila dia merasakan
kondisi otot perutnya tegang. Sakit.
Bibirnya
terkumat-kamit. Berharap Tuhan mahu menolongnya yang melakukan dosa.
Tiba-tiba
semburan air hangat keluar dari vagina. Banyak. Dia fikir mungkin itu darah.
Lantas diperiksa. Tetapi warna berbeza. Lalu dia berfikir mungkin juga itu
adalah air ketuban yang sudah mulai pecah. Semburan air itu keluar berselang
seli dengan darah. Pada masa yang sama gumpalan darah berukuran besar sudah
mulai keluar. Dia beranggapan bahawa kemungkinan isi kandungannya akan keluar
dalam keadaan yang hancur, sampaikan dia sudah mulai tidak ambil peduli
langsung. Redha.
Seharian
keadaan dia seperti itu.
Keesokan
harinya darah masih keluar seperti hari semalam. Dia sudah mula merasa letih
dan lemas. Kesakitan yang dialami hari itu dua kali ganda daripada senggugut
yang selalu dialaminya.
Murni
hanya mampu menangis seharian sedangkan Mamat terus-terusan marah dan menyalahkan
dia. Dia tidak tahu harus bagaimana lagi. Mamat juga tidak tahu harus bagaimana
lagi. Dia juga keliru dengan tindakannya. Tindakan awalnya bersama Murni yang
sehingga boleh menyebabkan berlakunya perkara jijik seperti ini. Nak disesal
sudah terlambat nak diratap tidak terbuat.
Gumpalan
darah yang keluar semakin banyak. Dia tidak boleh tidur terlentang. Hanya mampu
tidur mengiring ke tepi. Rasa itu sangat menyakitkan. Perit. Malam itu mulalah
dia teringat akan ibunya. Air matanya mulai jatuh ke pipi. Laju. Dia dapat
membayangkan bagaimana perjuangan seorang ibu. Apa yang dikata orang, proses
melahirkan adalah suatu taruhan nyawa seorang ibu yang hanya mampu memilih
antara hidup dan mati.
Terlintas
di benak fikirannya, adakah ini suatu bentuk teguran Tuhan kerana dia sudah
terlalu jauh dari Penciptanya.
Pendarahan
masih lagi berlaku. Murni hanya mampu berbaring ditemani Mamat di sisi. Secara
tidak sengaja semasa Murni membasuh vaginanya, tangan dia merasakan ada sesuatu
yang ganjil dari bibir vagina. Ternyata selepas diperiksa, tangan mungil yang
jarinya sudah lengkap bersama kukunya keluar. Tangan itu tangan si kecil yang selama ini ada dalam kandungannya.
Murni
hampir pengsan. Dia langsung meraba ke dalam liang peranakan. Terasa tangan dan
lengannya yang sudah bertulang kecil. Ya, sudah bertulang.
Dia
menangis.
Mamat
dimaklumkan. Daripada berterusan rasa sakit, Mamat menyarankan supaya dia
menarik keluar isi itu perlahan-lahan. Tetapi dia tidak sanggup untuk melakukan
itu. Mamat lantas menghubungi Melah tetapi dilarang oleh Murni. Takut-takut
Melah akan menyuruh dia melakukan yang tidak-tidak. Tindakan yang diluar logik.
Mungkin.
Petang
hari, kesakitan yang dirasai dirasakan
sudah sampai ke kemuncaknya. Sakit yang teramat. Jauh lebih perit dari
hari-hari sebelumnya. Murni menggigit bantal. Elak jeritan dia didengar orang.
Murni redha. Mamat pasrah.
Sampai-sampai
seandainya ada perompak datang dan bertanya adakah dia mahu dibunuh, dia pasti
akan menjawab ya. Sumpah dia sudah tidak mampu lagi bertahan menanggung
keperitan itu sendirian. Walaupun hakikatnya dia sentiasa ditemani Mamat.
Namun, hanya dia yang menderita. Dia tidak lagi mampu bertahan. Murni berbisik
kepada Mamat, lebih baik orang tuanya tahu tetapi dilarang keras oleh Mamat.
Bukan kerana rasa takut nanti dimarahi tetapi Mamat fikirkan cakap-cakap
keluarga dan saudara-maranya yang terkenal. Malu. Itu keputusan yang tepat. Tambahan
Mamat juga sudah buntu. Tidak tahu harus dilakukan apa pada Murni dalam keadaan
begitu.
Keadaan
terus diam.
Tiba-tiba.
Aduh.
Sakit. Dia menjambak-jambak rambutnya sendiri. Tanda sudah tidak tahu harus
bertahan bagaimana lagi. Mamat menangis. Mamat berbisik. Andai dia tahu kekasihnya
akan menghadapi semua rasa kesakitan itu, pasti tidak akan diturut rencana gila
itu. Mungkin ada sedikit penyesalan dalam dirinya. Namun ternyata semua itu
sudah terlambat. Bagai nasi yang sudah menjadi bubur. Segalanya sudah pun
berlaku. Hanya perlu dia dan Murni hadapi semuanya. Mungkin hadapinya sebagai
balasan dari Tuhan.
Perit.
Murni tidak mampu lagi bertahan. Dia terkejar-kejar menuju ke bilik air. Berlari
anak sambil menahan sakit perut ditambah dengan pehanya yang berdarah ditahan-tahan
supaya tidak menitik jatuh ke lantai.
Mamat
panik. Dia mengikuti Murni dari belakang.
Murni
terjelopok jatuh. Isi kandungannya jatuh. Sudah terkeluar. Lantas rasa sakit
itu berhenti. Serta merta. Mamat ternganga. Dia hampir pengsan. Tidak sanggup
melihat darah yang mengalir begitu banyak.
Isi
kandungannya sudah tiada. Isi kandungan itu ialah bayi. Atau lebih tepat janin.
Janin itu sudah mati. Mereka hanya mampu melihat dengan deraian air mata. Air
mata tanpa suara. Kesal, mungkin.Murni keletihan. Keletihan yang luar biasa.
Badannya sakit-sakit seakan baru sahaja selesai melahirkan bayi.
Malam
itu Murni tertidur nyenyak. Tidur bertilamkan lengan Mamat. Mungkin dia
beruntung kerana sehingga saat ini Mamat masih lagi mahu bersamanya. Sama-sama
mengharungi detik getir itu. Bukan detik getir melahirkan tetapi detik getir
menggugurkan bayi kandungannya. Bayi mereka berdua. Jika manusia lain, sudah
pasti kekasih hatinya akan jauh pergi meninggalkan selepas bertindak tidak
waras memaksa kekasihnya menggugurkan kandungan. Namun, dalam diri Mamat
sebenarnya kosong, tidak tahu apa yang dilakukannya itu betul atau tidak. Apa
yang dia pasti, dia seolah-olah menginginkan Murni selamat begitu juga dengan
bayi. Tapi mana mungkin perkara itu berlaku kerana mereka masih belum ada
apa-apa ikatan kerana masing-masing masih bergelar pelajar tahun pertama di
salah sebuah universiti tempatan.
Sebelum
tidur, dia memohon maaf kepada anaknya (bayi yang telah gugur). Di dalam hati.
“Ibu
tidak mahu sayang menjadi bahan bualan orang-orang, sayang. Maafkan ibu.
Maafkan dosa ibu. Maafkan ayah. Andailah sayang faham keadaan ibu kini, ibu
yakin sayang adalah anak yang akan sentiasa berada dalam hati ibu, sayang.”
Pagi
itu Murni bangun awal. Dia dan Mamat menyesali apa yang telah dilakukan
semalam. Dia dan Mamat memutuskan supaya janin itu harus dimandikan dan
dilakukan selayaknya seperti seorang bayi yang baru lahir. Agar nanti bayi itu
tenang di alam sana lantas mahu memaafkan kekhilafan ibu ayahnya.
Mamat
menyediakan air suam-suam kuku di dalam bekas yang sudah dicampur dengan
wangian. Biar bayi itu nanti berbau harum semasa dikuburkan. Bayi itu harus
dikubur selayaknya.
Mamat
masih lagi panik melihat bayi itu. Tidak sampai hati rasanya diperlakukan
seperti itu. Akhirnya, Murni membuka bungkusan itu dan ditimang-timang
perlahan. Dia mencium pipi bayi itu, terasa dingin. Bayi itu sudah sempurna.
Tinggal bentuk kepala yang belum sesuai dengan badannya. Tangan dan kaki sudah
sempurna terbentuk. Hidungnya mancung persis hidung ibu. Bibir atas bak ibu
juga sedangkan raut wajah bayi tidak jauh beza dengan wajah ayah. Dia merenung
bayi itu buat kali terakhirnya.
Murni
hampir pengsan menahan kesedihan, menyesal atas apa yang telah dilakukan.
Mamat
bertindak untuk mula mengebumikan bayi itu. Saat itu hujan renyai-renyai turun
membasahi bumi. Seakan turut meratapi pemergiaan bayi itu.
Murni
menangis tidak henti-henti. Hanya mampu menyesali segalanya.
Mungkin
andai nanti bayi itu hidup membesar pasti akan menjadi manusia yang berguna
buat ibu ayah. Anak yang akan sentiasa mengangkat tangan mengirimkan doa untuk
ibu ayahnya. Namun semua itu mustahil kini. Bayi itu sudah tiada. Pergi jauh.
Tinggal kekal di syurga.
Hari
ini sudah lima tahun kejadian itu berlalu meninggalkan Murni. Kejadian kali
pertama dan akan dia pastikan bahawa ia adalah kali terakhir untuk dirinya.
Pasti tidak akan diulangi lagi perkara seperti itu dalam dirinya. Itu pasti.
Dia
masih setia di tikar sejadah itu. Masih setia mengharap pengampunan dari
tuannya. Adakah dosa semalamnya diterima. Persoalan yang sukar untuk diberikan
jawapan. Namun dia tahu tuannya pasti ada jawapan untuk persoalan dia itu. Itu
juga pasti.
Kedengaran
tangisan bayi kuat kedengaran di ruang luar. Terus lamunannya terhenti.
Pandangannya dilarikan ke arah tangisan bayi itu. Menitis air mata jatuh
setitik demi setitik ke pipi melihat bayi itu menangis seakan mengingatkan
Murni kepada bayinya. Lantas bayi itu diangkatnya dan didodoi-dodoi supaya bayi
itu diam. Dicium pipi bayi itu. Berbau wangi. Wangi seorang bayi. Dalam dia
mendodoikan bayi itu, tiba-tiba Murni dikerumuni oleh beberapa kanak-kanak
kecil yang berlumba-lumba untuk bermain dengan bayi itu. Rasa gembira hatinya.
Lucu melihat keletah kanak-kanak itu. Andai dosa semalam itu tidak berlaku,
sudah pasti sekarang ini dia sudah mempunyai anak-anak sebesar itu.
Setelah
lima tahun peristiwa itu berlaku, kini Murni sudah mula sedar atas dosa semalam
yang dilakukan. Kini Murni telah hampir dua tahun berkhidmat sebagai pengasuh
di Pusat Jagaan Kanak-Kanak Nur Budi. Di pusat jagaan itu Murni dapat berjumpa
dengan anak-anak kecil sedari umur satu tahun sehinggalah umur enam tahun.
Hasratnya cuma satu. Ingin menebus semula kesilapannya yang lampau walaupun pada
hakikatnya dia tahu dosanya itu terlalu sukar untuk dimaafkan oleh masyarakat
sekeliling. Murni berharap dengan dia berkhidmat di situ dapat juga dia
melepaskan rindunya kepada bayinya yang telah meninggal dahulu.
Puan
Hajjah Mariam, selaku pemilik pusat jagaan itu sejak pertama kali Murni datang
ke tempatnya lagi sudah dikhabarkan tentang perihal diri Murni. Dia turut
bersimpati lantas diberikan Murni bekerja di situ. Setiap hari Murni akan
bermain-main dengan kanak-kanak di situ melayan kerenah dan telatah mereka. Dia
sangat gembira. Kerjanya ikhlas. Kanak-kanak di situ juga terlalu rapat
dengannya.
Pada
suatu petang, sedang dia mendukung seorang kanak-kanak di laman hadapan pusat
jagaan itu dia terpandang ada sebuah kotak terletak elok di hadapan pagar pusat
jagaan itu. Segera dia merapati kotak itu. Hampir menitis air mata apabila dia
melihat di dalam kotak itu terbaringnya seorang bayi yang sangat comel berkulit
putih sedang tidur nyenyak diselimuti dengan kain batik. Lantas dia teringat
akan bayinya. Bayinya yang telah tiada. Dicium bayi kecil itu. beriringan pula dengan
titisan air mata. Air mata penyesalan.
Habis cerita. =)
No comments:
Post a Comment